Monday 19 May 2008

UM


Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:

“Redha Allah bergantung redha kedua ibu bapa, dan murka Allah bergantung kepada kemurkaan ibu bapa”
Riwayat al Hakim

Masih teringat kata ibuku “kalau mak pergi haji nak pergi dengan Khaidirlah”. Kerisauan terasa dalam seorang anak sebab hajat ibuku nak pergi haji bertemankan anaknya. Ketika tu baru belajar-belajar simpan duit kerana nak kawin manalah tau ada jodoh. Kerja sudah empat tahun mengajar. Orang bujang duit sikit habis apatah lagi duit banyak, baiklah simpan. Sekali lagi teringat pesan ibuku “Khaidir kalau nak kawin carilah orang dekat-dekat sahaja” kata ibuku.

Terasa dua tanggungjawab ini yang perlu diselesaikan. Umurku kira terlebih wajib kawin dan umur ibuku juga semakin bertambah. Kesihatan dia pun perlu diambil kira. Semua ini dipanjatkan kepada Maha Pencipta sesungguhnya hanya Dia Allah yang mampu memakbulkan segala permohonan kita. Sebagai hamba kita boleh merancang sesuatu dan berusaha. Berjaya dan tidak berjaya semuanya kehendak Allah. Alhamdulillah tahun 2005 jodohku sampai, kawin dengan junior di sekolah menengah dulu. Keluarga kami dah saling kenal, tidak menjadi masalah lagi pun dekat tidak sampai 10 minit dari rumahku. Makbul doa ibuku gembira hati ibuku tercapai hasratnya. Hatiku pun gembira juga sebab kami dah kenal antara satu sama lain. Cuma semasa di sekolah tidak pernah bercakap. Sekolah agama memang bi`ah islamiah itu bagus. Bercakap dengan pelajar perempuan bila perlu sahaja. Pergaulan mengikut akhlak Islam, tiap-tiap hari kami dihidangkan ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah. Hati selalu dibasuh dengan al-Quran menggilap sifat mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah.

Rupanya rezeki orang kahwin lebih murah. Pada tahun akhir tahun 2005 daftar untuk menunaikan haji dan pada tahun 2006 alhamdulillah duit sudah cukup. Tahun 2007 aku dan ibuku memohon untuk pergi awal kerana masalah kesihatan. Alhamdulillah Allah permudahkan urusan untuk menunaikan rukun Islam yang kelima. Pada pertengahan bulan 12 tahun 2007 berangkatlah ke tanah suci. Semasa di Mekah ibuku banyak bergantung kepadaku sebab semasa belajar di Jordan dahulu sudah menunaikan haji. Sudah lama tidak bercakap Arab, seronok juga rasanya dapat berkomunikasi dengan umat Islam lebih-lebih lagi dalam bahasa Arab.

Bila bercakap bahasa Arab teringat mula-mula belajar bahasa Arab di Syria selama satu tahun pada tahun 1991 hingga 1992. Di Mekah aku banyak tolong ibuku semasa ingin melakukan ibadat haji terutama tawaf dan saie. Begitu juga di Arafah, Muzdalifah dan Mina lebih-lebih lagi semasa melontar Jamrah. Pergorbananku ini untuk membalaskan jasa dan pengorbanan ibu kepadaku. Ianya juga usaha untuk menjadi anak soleh walaupun tidak terbayar pengorbanan terhadapku. Amat mengkagumi semangat dan usaha ibuku mendidik kami adik beradik seramai 7 orang, yang kehilangan ayahanda tersayang semasa usiaku 15 tahun. Kami adik-beradik di sekolahkan di sekolah agama supaya menjadi anak soleh atau sekurang-kurangnya pandai membaca doa sekiranya mereka sudah tiada. Bulan Mac 2008 sekali lagi aku meninggalkan Malaysia kerana kerana menemani isteriku menyambung PhD di Universiti Lancaster UK selama 3 tahun. Ini kali kedua aku meninggalkan ibuku di Malaysia buat semantara waktu. Insyallah selepas 3 tahun lagi aku akan balik untuk membalas jasa-jasa ibuku walaupun tidak terbalas. Paparan ini untuk menjadikan diriku selalu ingatkan jasa-jasa ibuku dan usaha menjadi anak yang soleh.

Tidak juga lupa ibuku yang kedua ibu mertua. Sebagai Muslim kita bukan dituntut merayakan hari ibu sekali setahun kerana dia tidak mencukupi. Kita sebagai anak yang mendakwa anak soleh mesti mendokan ibubapa setiap kali selepas solat lima waktu. Prinsip hidupku “berikanlan kegembiraan kepada ibu selagi hayatnya kerana keberkatan dan kebaikan akan datang kepada kita”. Walaupun kita tak mampu menjadi Uwais al-Qarni terkenal taat kepada ibunya sampai malaikat dan jin mengenalinya, cukuplah kita menjadi Muslim yang soleh kepada ibu kita.

No comments: