Sunday 4 May 2008

SUNNAH RASULULLAH S.A.W CARA HIDUP KITA

Firman Allah Taala:
“Kemudian jika kamu berbantah2 dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada KITAB ALLAH (QUR’AN) dan SUNNAH Rasul, jika kamu benar beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya. [maksud surah an-nisa 59].

Sahabat-sahabat sekelian, ayat diatas menekankan kepentingan menjadikan hadith Rasulullah s.a.w sebagai sumber rujukan kedua selepas Al-Qur’an. Inilah warisan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w kepada kita. Al-Qur’an dan Sunnah adalah rujukan terbaik untuk menyelesaikan masalah umat Islam, baik perkara yang sekecil-kecilnya hinggalah perkara yang sebesar-besarnya. Rasulullah s.a.w tidak meninggalkan harta dan pangkat untuk Islam bagi menyelesaikan masalah yang bakal dihadapi oleh umat Islam. Baginda tinggalkan Al-Qur’an dan Sunnahnya. Lihatlah bangsa Arab yang berpegang akan wasiat ini, mereka telah mencipta ilmu-ilmu baru semasa barat mengalami zaman kegelapan. Mereka juga dapat memerintah 2/3 dunia dan menjadi satu bangsa yang sangat dihormati satu ketika dahulu kerana berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah.

Umat Islam sekarang ini diserang dengan dahsyatnya dari pelbagai sudut, melalui media massa seperti filem-filem dan sebagainya. Ini kerana kita umat Islam sudah tidak dihormati dan tidak ditakuti. Masalah ini berlaku kerana kita tidak kembali kepada ajaran Islam, tidak merujuk Al-Qur’an dan Sunnah sebagai cara hidup. Kehidupan seharian dan akhlak kita jauh dari nur Al-Qur’an dan Sunnah. Bukan sekadar itu sahaja budaya dan amalan Islam terhakis sedikit demi sedikit bermula dari diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita. Apatah lagi negara. Mulia dan hina seseorang Muslim dan juga masyarakat Islam itu bermula sejauh mana pegangan mereka dengan Al-Qur’an dan Sunnah dan mengamalkannya

Pengenalan Ilmu Hadith secara ringkas
Pada permulaan Islam pada zaman Rasulullah s.a.w, para sahabat yang cinta kepada Rusullah menghafaz hadith-hadithnya. Ketika itu mereka tidak menulisnya, hadith dari Abu Said al-Khudri Radiallahuanhu katanya ‘bahawa Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya “janganlah kamu menulis (hadith-hadith) dariku, dan (dengan yang demikian) sesiapa yang telah menulis dariku selain dari Al-Qur’an, maka hendaklah ia memadamnya”
Kemudian datang hadith lain yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Tarmizi dari Abu Hurairah radiallahuaahu katanya “tatkala Rasulullah s.a.w beroleh kurnia Allah menguasai tanah suci Makkah al-Mukarramah, tampillah baginda berpidato kepada orang ramai…….lalu bangun Abu Shah sambil berkata: “Bolehkah tuan (membenarkan sesiapa) menulis untukku (apa yang tuan sabdakan itu) ya Rasulullah? Baginda menjawab, maksudnya: “tulislah kamu untuk Abu Shah”.

Para ulamak dan ahli hadith telah memberi pendapat antara hadith pertama yang melarang dengan hadith kedua yang mengharuskan menulis hadith Rasulullah s.a.w.
a) Larangan menulis hadith Rasulullah s.a.w pada hadith yang pertama ialah ketika wahyu turun sekali dibimbangi bercampur dengan Al-Qur’an
b) Larangan hadith pertama adalah khas mengenai penulisan hadith bersama dengan Al-Qur’an pada satu lembaran. Hadith kedua mengharuskan sekiranya ditulis pada lembaran yang berasingan
c) Larangan kepada yang kuat ingat yang selamat dari lupa. Sebaliknya diizinkan bagi lemah ingatan dan tidak boleh ditulis dengan lembaran yang ada ayat-ayat Al-Qur’an
d) Larangan hadith yang menerangkan menulis kemungkinan dimansuh dengan hadith yang lain. Pada mulanya Rasulullah s.a.w melarang menulis tetapi apabila hadith Rasulullah s.a.w banyak dan bertambah maka dibenarkan supaya tidak lupa dan mudah dihafaz

Apa pengertian hadith:
Hadith adalah berita-berita sabda nabi (perkataan), perbuatan dan takrir (diam) terhadap sesuatu yang dilakukan orang setelah Rasulullah s.a.w mengetahuinya.

Beza dengan hadith Qudsi:
Hadith Qudsi ialah berita-berita firman tuhan, yang disampaikan erti dan maksudnya oleh Rasulullah s.a.w iaitu perkataan dari Rasulullah s.a.w sendiri.

Apakah yang dikatakan Sanad?
Salasilah (pertalian) yang terdiri dari beberapa orang rawi, seorang demi seorang dimulai dengan guru bagi seorang pengumpul hadith kemudian sahabat yang menerima hadith dari Rasulullah s.a.w sendiri. Seperti contoh dari Zaid bin Arqam radiallahuanhu.

Apakah yang dikatakan matan?
Isi hadith atau apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w itu sendiri atau lafaz-lafaz yang membentuk makna. Seperti contoh sabda Rasulullah maksudnya “setiap amalan dimulakan dengan niat…”.

Hadith dibahagikan kepada beberapa martabat secara umum:
A) Hadith sahih ialah hadith yang cukup padanya lima syarat
i) Sanad perawi hadith bersambung hingga akhir sanad. Tiada yang tertinggal perawinya
ii) Setiap perawi hadith mestilah bersifat adil
iii) Kuat ingatan hadith yang dihafaz (dhabit)
iv) Hadith yang diriwayatkan seorang perawi hadith tidak menyalahi hadith yang diriwayatkan perawi hadith yang ramai
v) Hadith yang diriwayatkan tidak mengandungi kecacatan hadith (ellah hadith)

Ellah” hadith = cacat hadith dari segi perawi hadith, kadang-kala pada matan hadith. Ianya memerlukan perbahasan yang panjang.

B) Hadith Hasan ialah hadith adalah sama syarat dengan hadith sahih. Hanya berbeza dari segi sifat perawi hadith iaitu kurang sedikit adil dan dhabit.

C) Hadith Dhaif ialah hadith yang tidak cukup lima syarat hadith sahih

D) Hadith Mutawatir ialah:
i) Hadith yang diriwayat melalui pancaindera. Iaitu melalui pendengaran dan melihatnya. Ramai melihat dan mendengar apa yang berlaku.
ii) Jumlah rawi (meriwayatkan hadith) yang ramai mustahil mereka berpakat-pakat mengadakan atau membuat hadith palsu

E) Hadith Ahad ialah hadith yang rawi (meriwayatkan hadith) tidak seramai yang meriwayat hadith mutawatir

Hukum menolak hadith Rasulullah s.a.w yang sahih adalah terbatal akidah dan perlu bertaubat dan mengucap dua kalimah shahadah semula.

Golongan yang anti hadith yang tidak mahu menjadikan hadith sebagai sumber hukum dan amalan sudah wujud sejak zaman Imam Syafie. Dikenali juga sebagai GAH (golongan anti hadith). Janganlah kita terikut dengan golongan ini kerana di Malaysia sudah wujud golongan ini. Berhati-hati ketika kita membaca hadith-hadith Rasulullah s.a.w. Sekurang-kurangnya kita mengetahui sesuatu perkara berserta dengan ilmu, jangan kita bercakap sesuatu perkara tanpa ilmu mengenainya. Kita umat Islam perlu mengetahui hadith Rasulullah s.a.w dan asas-asas ilmu hadith iaitu ulumul hadith.

Firman Allah Taala:
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang tidak kamu ketahui.” (Al-Isra’:36)

No comments: