Sunday 2 November 2008

Kurniaan Allah


Allah telah berfirman dalam Al Quran: "Dan orang-orang yang berkata: Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami daripada isteri-isteri kami dan keturunan kami cahaya-cahaya mata dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa"- surah al-Furqan:75.

Rasulullah telah bersabda bahawa: "Berkahwinlah kamu semua dan lahirkan anak banyak-banyak. Kerana aku akan berbangga dengan kamu semua di hadapan umat-umat lain di hari kiamat"- hadis riwayat al-Hakim.

Alhamdulillah kita panjangkan kesyukuran kepada Allah kerana mencipta manusia sebaik-baik kejadian berbanding makhluk yang lain. Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Kita mengira apa yang kita rancangkan adalah terbaik untuk kita, tetapi tidak semesti terbaik disisi Allah. Hanya Allah sahaja yang mengetahui apa terbaik untuk hambanya. Sebagai Muslim kita perlu berusaha dan merancang, hal itu tidak boleh tidak. Ketidaksempurnaan dan apa yang kita rancang tidak berlaku adalah biasa dalam kehidupan sebagai manusia. Sebab kita adalah hamba dan banyak kelemahan yang ada pada kita. Apa yang penting kita berusaha dan tidak boleh mengharap sesuatu tanpa berusaha. Usaha kita juga kena berterusan tanpa mengenal berputus asa. Putus asa bukan sifat seorang Islam.

Lihatlah lembaran sejarah bagaimana kerja dakwah yang dipikul oleh Rasulullah s.a.w menyampaikan risalah Islam yang suci tanpa jemu dan berputus asa. Walaupun diugut dengan pelbagai ugutan tetapi terus berusaha menyampaikannya. Lihatlah hasilnya sekarang Islam telah tersebar keseluruh pelosok dunia hasil dakwah. Kerja dakwah bukan sesuatu yang senang sebab kerja dakwah bukan dibayar dengan gaji dan elaun yang mahal. Kerja dakwah kadang kala dibayar dengan maki hamun, ugutan untuk dibunuh, penjara dan juga penat lelah yang tidak dapat dikira nilainya. Jarang-jarang mendapat pujian.

*****

Anak adalah amanah dan kurniaan Allah kepada kita manusia. Kami memang tidak merancang untuk mendapat anak lambat atau cepat. Terpulang kepada Pencipta makhluk dan alam ini bila masa terbaik untuk kami. Setelah tiga tahun kami berkahwin baru sekarang Allah mengurniakan kami anak. Alhamdulillah sudah sembilan minggu zaujah mengandung ketika artikel ini ditulis. Pada minggu pertama apabila mengetahui zaujah mengandung agak terkejut bercampur gembira. Seolah-olah tidak percaya bakal menjadi ayah. Syukur Allah telah makbulkan doa inginkan zuriat kerana semasa menunaikan ibadat haji tahun 2007 tidak berhenti-henti berdoa di depan Kaabah. Walaupun zaujah sudah mengandung beliau masih ke pejabat dan pergi ke kelas setiap hari untuk menyiapkan tesis PhDnya. Tidak selera makan sudah lumrah bagi orang mengandung. Sekarang segala urusan memasak menjadi tugas setiap hari. Bukanlah pandai sangat masak tetapi pengalaman semasa belajar di Jordan bolehlah diguna. Lagi pun memasak ini sudah menjadi hobi. Apa sahaja boleh masak asalkan jangan suruh masak kuih muih sebab tidak berminat.

Sudah tiba masanya untuk dipertanggungjawap menjaga amanah Allah kerana anak adalah amanah Allah kepada hambanya. Anak mesti diberi pendidikan kerana ibubapa lah yang mencorakkan anak mereka. Mereka bagaikan kain putih yang bersih, pendidikan dari ibubapa mencorakkan mereka samada Islam, yahudi atau nasrani. Pendidikan awal ialah semasa dalam rahim lagi selepas ditiup roh. Sebaiknya bacalah Al-Quran tiga puluh juzuk semasa bayi dalam kandungan atau selalu mendengar bacaan Al Quran dari CD dan kaset-kaset. Kita boleh rangsangkan bayi dalam rahim dengan perkara-perkara yang baik-baik. Semoga dia terbiasa dengan pekara baik dan bila keluar dari rahim nanti dan sudah besar suka perkara yang baik. Ini kerana kita dah didik dia dari awal lagi. Ada juga yang bapanya merakamkan bacaan Al Qurannya kemudian didengar oleh isterinya yang mengandung. Ini semua kerana hendak membiasakan anak tadi dengan suara bapa mereka agar apabila sudah besar mendengar kata-kata bapanya.

Semoga kami dapat mendidik anak kami dengan baik dan menjadi anak yang soleh atau solehah. Amin ya rabbal alamin.