Wednesday 30 April 2008

FITNA ITU HIKMAH KEPADA UMAT ISLAM

Ayat Al Quran yang diketengahkan oleh Greert Wilders melalui “ FITNA”

1) Firman Allah Taala dalam surah al-Anfal 60:

Maksudnya: ((Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) Segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya)).

Ayat ini dijadikan sebagai asas tuduhan bahawa Islam suka berperang. Sedangkan ianya merupakan satu pendedahan kepada strategi peperangan iaitu hendaklah bersiap siaga sebelum terjun dalam peperangan. Persiapan yang dimaksudkan ialah kekuatan dalam pelbagai aspek samada fizikal, meterial dan juga mental. Dengan itu barulah boleh membina satu pasukan perang yang gagah dan kuat serta digeruni. Ayat di atas menekan soal kepentingan strategi agar setiap muslim sentiasa berstrategi dalam tindakan mereka dan tidak bertindak membabi buta. Dengan wujudnya kekuatan di kalangan tentera Islam secara tidak langsung akan menggerunkan dan mematikan hasrat musuh untuk memerangi Islam lantas dapat mengelakkan berlakunya perang. Ini dibuktikan sepertimana telah berlaku dalam peristiwa Tabuk. Apabila risikan tentera Rom mendapati tentera Islam yang berkhemah di Tabuk sangat gagah maka mereka telah membatalkan niat untuk berperang dengan umat Islam.
2) Firman Allah Taala dalam surah Al-Nisa ayat 56-57:

Maksudnya: ((Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. dan (ingatlah) Sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana)).

Ayat ini juga dijadikan asas tuduhan betapa Islam bencikan orang kafir, sedangkan Allah Taala menerangkan tentang akibat keingkaran kepada perintah Allah Taala dan fenomena yang akan berlaku di akhirat kelak kepada mereka yang tidak beriman di kalangan umat manusia. Ayat ini tidak menyuruh umat Islam membakar orang kafir dan menyembelih sewenang-wenangnya seperti yang didakwa oleh Wilders. Ayat ini cuba dikaitkan pula dengan hadis Nabi s.a.w yang mengatakan bahawa satu ketika kelak orang Islam akan membunuh Yahudi. Hingga mereka bersembunyi di belakang pokok, lantas pokok dan batu berkata wahai muslim, di belakangku ada Yahudi marilah bunuh mereka! Soal membunuh dan menyembelih Yahudi ini tidak akan timbul jika mereka tidak menjajah bumi Palestin dan membunuh ribuan penduduk Islam. Malah mereka merogol wanita-wanita Islam. Apakah tidak wajar mereka diperangi setelah bertahun mereka menzalimi penduduk yang tidak berdosa? Kekejaman mereka sudah tidak boleh diselindung lagi justeru itu mereka cuba mengalihkan pandangan dunia dengan menuduh Islam yang memulakan permusuhan ini!3) Firman Allah Taala dalam surah Muhammad ayat 4 :

Maksudnya: ((Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) Maka pancunglah batang leher mereka sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berakhir. Demikianlah apabila Allah menghendaki nescaya Allah akan membinasakan mereka tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain dan orang-orang yang syahid pada jalan Allah, Allah tidak akan mensia-siakan amal mereka)).

Wilders menjadikan ayat ini sebagai bukti betapa Islam menggalakkan umatnya menyembelih orang kafir khususnya Yahudi sedangkan berdasarkan pada tafsirannya, ayat di atas diturunkan semasa situasi perang dan sebagai panduan ketika berperang. Bagi melengkapkan pemahaman kepada ayat ini perlulah pula dikaitkan dengan ayat 190 dari surah Al-Baqarah di mana Allah Taala berfirman yang bermaksud:

((Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas)).

Berdasarkan ayat inilah tentera-tentera Islam dilarang samasekali membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua dan ketua-ketua agama (paderi, tok sami dan lain-lain) serta dilarang merosakkan tanaman dan binatang ternakan ketika berperang. Meskipun tercatat di dalam buku-buku sirah senarai peperangan yang banyak namun bila diteliti peperangan tersebut tercetus adalah berpunca dari hasrat mempertahankan diri dan bukan untuk memusnah dan membunuh sesama manusia. Malah ada juga situasi di mana perang tidak berlaku seperti dalam peristiwa Tabuk serta Perang Khandak atau Ahzab. Di dalam perang Tabuk sebagai contoh, Rasulullah s.a.w mengerahkan para sahabat keluar bagi mempertahankan Islam dan Kota Madinah dari ancaman tentera Rom yang diketuai oleh Maharaja Qaisar. Rom yang begitu tamak mahu menguasai semenanjung Arab keluar dengan kekuatan tentera yang begitu hebat ditambah dengan sokongan beberapa kumpulan bangsa Arab yang tunduk kepada kuasa Rom. Rasulullah s.a.w telah mengambil keputusan keluar ke Tabuk untuk menyekat Rom. Di Tabuk tentera Islam berkhemah hampir 20 hari. Berita kehebatan tentera Islam yang berkhemah di Tabuk sampai ke pengetahuan tentera Rom dan menggerunkan mereka. Akhirnya mereka berundur dari medan perang kerana bimbangkan kekalahan di tangan tentera Islam. Begitu juga dengan Perang Khandak atau Ahzab. Tentera gabungan antara kaum musyrikin Mekah dan Yahudi yang berkampung di luar kota Madinah dengan tujuan untuk menyerangnya telah lari bertempiaran apabila ribut taufan melanda. Akhirnya perang Ahzab pun tidak berlaku. Perang Badar pula adalah berpunca dari keegoan pembesar musyrikin Mekah yang mahu menghancurkan Islam meskipun umat Islam yang keluar adalah bertujuan mengambil balik harta mereka dari kafilah Quraish. Umat Islam yang keluar gagal merampasnya namun tentera musyrikin tetap mahu memerangi mereka maka tercetuslah perang Badar.

4) Firman Allah Taala dalam surah Al-Nisa ayat 89:

Maksudnya: ((Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka. Oleh itu janganlah kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam). Kemudian kalau mereka sengaja berpaling ingkar, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu menemuinya dan jangan sekali-kali kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat atau penolong)).Ayat ini dikaitkan pula dengan dakwaan sikap orang Islam yang tidak boleh berkawan dengan orang kafir dan arahan membunuh di mana sahaja berjumpa dengan mereka. Sedangkan ayat ini perlu dibaca bersama ayat seterusnya surah Al-Nisa ayat 90:

Maksudnya: Kecuali orang-orang yang pergi (meminta perlindungan) kepada suatu kaum yang ada ikatan perjanjian setia antara kamu dengan mereka, atau orang-orang yang datang kepada kamu sedang hati mereka merasa berat hendak memerangi kamu atau memerangi kaumnya dan jika Allah menghendaki, nescaya ia menjadikan mereka berkuasa melawan kamu, kemudian tentulah mereka memerangi kamu. Dalam pada itu, jika mereka membiarkan kamu (dengan tidak mengancam atau mengganggu), serta mereka tidak memerangi kamu dan mereka menawarkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak menjadikan bagi kamu sesuatu jalan (yang membolehkan kamu memerangi atau menawan) mereka.
Jika diteliti, amat jelas ayat 90 surah Al-Nisa menegaskan bahawa perdamian adalah diberikan keutamaan. Peperangan hanya akan berlaku jika musuh memberikan ancaman dan memerangi Islam. (petikan daripada tulisan Zuridan Md Daud)

Terlalu banyak hikmah yang dapat kita ungkapkan sebagai muslim yang diberi akal yang waras kepada kita antaranya:

Sekiranya Geert Wilders...

1- Mengkaji dan memahami Al-Quran untuk menghina Islam
2- Mengambi satu ayat sahaja dan meninggalkan 6665 ayat Al-Quran yang lain
3- Membaca terjemahan Al-Quran untuk menghina agama Islam
4- Menbaca Al-Quran dengan penuh kebencian
5- Memiliki Al-Quran untuk menghina umat Islam
6- Menafsirkan Al-Quran mengikut kejahilan dan hawa nafsu
7- Mengkaji Al-Quran dan membuat filem untuk menghina Islam


Umat Islam perlu……

1- Mengkaji dan memahami Al-Quran setiap hari untuk memahami Islam
2- Mengambil dan beramal dengan 6666 ayat Al-Quran secara menyeluruh
3- Membaca Al-Quran dengan terjemahannya sekali bukan sekadar boleh membaca
4- Mempertingkatkan lagi Ilmu membaca Al-Quran seperti tajwid dan tarannum
5- Sentiasa membawa Al-Quran sekurang-kurang Al-Quran terjemahan untuk dikaji
6- Mendalami Ilmu mentafsir Al-Quran dan sebab-sebab ayat diturunkan
7- Mengkaji keajaiban dan keistimewaan Al-Quran dan di muatkan dalam media masa dan eletronik


Buat sahabat semua, lihatlah betapa gigih usaha musuh Islam yang benci kepada agama Allah. Usaha demi usaha dijalankan untuk menghina Islam tanpa henti. Mereka sering kali menimbulkan api perbalahan antara umat Islam dengan agama mereka. Semasa mereka menimbulkan isu, penulisan, gambar dan filem tentang keburukan Islam, kita semua sibuk memperkatakannya dimana-mana, kita akan berdemonstrasi membantah dan boikot barang-barang keluaran barat. Selepas itu bila mereka senyap kita pun senyap. Macam bermusim kita sensitif mengenai agama Islam. Semasa mereka menghina Islam dan Al-Quran, pada masa yang sama kita merujuk kepada Islam dan Al-Quran. Selepas kita mengetahui kebenaran kita pun senyap. Itulah budaya umat Islam hari ini. Sama seperti kes Salman Rushdie menghina Rasullah dan isu karikatur Nabi Muhammad. Kita umat Islam tidak mengambil pengajaran dari peristiwa-peristiwa yang dipaparkan untuk menghina Islam dan Rasulullah. Cuba tanya diri kita sebagai Muslim, antaranya:

1- Sudah cukupkah keIslaman kita dengan solat, zakat, puasa dan haji?

2- Adakah akidah kita sudah benar-benar mantap?

3- Berapa banyak sunnah Rusulullah yang telah kita amalkan atau sunnah baca doa makan sahaja kita amalkan, sunnah yang lain bagaimana?

4- Rasulullah adalah idola atau role model kepada umat Islam. Kenapa kita masih tidak mengikutinya?

5- Kita mengetahui bahawa akhlak Rusulullah adalah Al Quran. Kenapa kita tidak mengikutinya dalam kehidupan kita?

6- Kita mengetahui ilmu adalah penting, kenapa kita tidak berusaha menambah ilmu sedia ada dengan berbagai ilmu lain untuk manfaat agama dan umat Islam?

7- Berapa kali sehari semalam kita buka Al Quran sedangkan surat khabar tiap-tiap hari kita baca.

Islam tidak hina, Islam tidak lemah, Islam tidak zalim, Islam tidak mundur.
Yang hina
Yang lemah
Yang zalim
Yang mundur
Adalah umah Islam yang tidak memahami Islam secara menyeluruh, meninggalkan Al-Quran dalam kehidupan seharian dan meninggalkan sunnah-sunnah Rusullah.

Oleh itu marilah kita bangun dari kelekaan dengan keenakan dunia kepada mencari keredhaan Allah kerana hanya jiwa-jiwa yang tenang sahaja yang dijemput dan diundang ke syurgaNya yang disediakan untuk kita kekal berbahagia didalamnya buat selama-lamanya.

Disediakan oleh
Al FAKIR FI ISLAM
IBNU PIAH AL AWAHI

No comments: