Friday 27 June 2008

Old Trafford

Pada 23hb Jun 2008, kira-kira jam 7 petang, Jasni call “aku nak pi rumah hang, nak pi sembang” katanya. Apabila Jasni sampai, kami berbual pelbagai perkara lebih-lebih lagi kehidupan di UK ni khususnya di Lancaster. Lepas satu topik ke satu topik. Jasni cakap esok dia nak pergi Manchester dengan Din, sebab kereta Din shipping kat sana. Aku pun tanya “kalau aku ikut pergi sekali boleh ke? Kata Jasni “boleh, tapi kami pergi pagi, dalam jam 8.30 pagi”. Aku bersetuju kerana pagi aku tak kerja. Lagi pun tempat yang kami akan pergi di Manchester untuk utusan penghantaran kereta ialah di stadium Old Trafford. Apa lagi, inilah peluang nak pergi jalan ke stadium itu. Kami bertolak dari Lancaster ke Manchester dalam jam 8.40 pagi dan sampai di stadium Old Trafford dalam jam 10 pagi. Lancaster ke Manchester tidaklah jauh lebih kurang 1 jam sahaja. Di sana kami berjumpa orang Malaysia yang menguruskan penghantaran kereta Din. Selepas selesai urusan itu semua, aku dan Jasni pun pergi melihat stadium terkenal itu dan mengambil gambar sebagai kenang-kenangan. Kata Jasni kelab bola Manchester kelab termahal dan terkaya.

Kami pulang ke Lancaster dalam jam 11.30 pagi menaiki kereta Jasni dan aku duduk di seat belakang. Terfikir dalam fikiranku tentang kelab Manchester semasa dalam perjalanan pulang. Kelab gergasi bola sepak seperti Manchester sudah tentu mempunyai pengurusan yang baik hingga terkenal sebegitu rupa. Urus tadbir yang berintegriti, cekap, amanah, jujur dan bersungguh-sungguh mungkin menjadi amalan kelab ini. Pengurusan duit yang baik menjadikan kelab ini menjadi kelab terkaya. Tidak perlulah kita cerita tentang sumber kewangan mereka, tetapi kaedah pengurusan kewangan mungkin boleh dikaji. Jumlah pembelanjaan mestilah tidak melebihi jumlah pendapatan. Kalau melebihi, kelab akan berhutang dan tidak mampu membeli pemain yang terbaik. Sudah semesti dana untuk membeli pemain disimpan dengan jumlah yang besar kerana memindahkan pemain bukannya murah.

Macamanalah kehidupan rakyat Malaysia selepas kenaikan minyak secara mendadak. Sudah tentu barang keperluan pun turut naik harga. Orang susah sudah tentu makin susah. Jurang antara yang miskin dan kaya makin jauh dan katara. Ini semua adalah berpunca dari pengurusan yang tidak mengikut Islam. Pengurusan Islam lebih memetingkan kebajikan umum (rakyat) dari kebajikan khusus (individu). Pengurusan awam lebih diutamakan dari pengurusan sendiri. Ketika hasil dan pendapatan negara di tahap yang baik, kita patut menyimpan kerana semasa kita susah kita boleh mengunakannya. Banyak kisah dan panduan yang diamalkan oleh sahabat Rasulullah s.a.w dalam pengurusan harta negara. Antara contohnya ialah kisah khalifah Abu Bakar dengan anak beliau, kisah khalifah Umar dalam Aamul Wija’ (tahun kelaparan), tanaman tidak menjadi kerana kemarau, dan juga kisah khalifah Umar Abd Aziz yang mana hendak mencari orang yang fakir dan miskin amat susah di zaman pemerintahan beliau. Kisah ini cukup mengambarkan pengurusan dari kerajaan yang mengikut prinsip-prinsip Islam, rakyat yang miskin terbela nasib mereka.

Umara’ yang memerintah bertanggungjawab menguruskan harta negara supaya semua rakyat yang miskin dan kaya mendapat hak masing-masing. Harta negara bukan milik kerajaan atau orang tertentu sahaja tetapi hak semua rakyat. Kerajaan cuma menguruskannya sahaja bukan memiliki dan menggunakan sewenang-wenangnya. Kalau menggunakan juga kepentingan dan feadahnya mesti kembali kepada rakyat. Harta yang ditadbir oleh kerajaan adalah satu amanah yang perlu pikul dan diuruskan dengan baik mengikut kehendak Islam. Kelak di akhirat akan ditanya oleh Allah Taala. Sebab itulah khalifah Umar menolak pertolongan pegawainya ketika beliau memikul guni gandum untuk diberi kepada satu keluarga miskin yang menjadi tanggungjawap beliau sebagai khalifah. Umar mengetahui harta dalam kerajaan beliau bukan hak beliau tetapi hak rakyat. Beliau tidak mahu ditanya oleh Allah Taala bagaimana pengurusan harta dalam pemerintahan beliau sedangkan masih ada orang miskin yang kelaparan.

Amat jarang dan kurang sekali pemimpin negara Islam sekarang ini yang mencontohi pengurusan dan pemerintahan mengikut prinsip Islam yang sudah di praktikkan dan diamalkan oleh para sahabat nabi. Mereka pandai menguruskan harta yang diamanakan kepada mereka kerana hati mereka telah diuruskan terlebih dahulu. Hati mereka ditanam dan disuburkan sifat-sifat mahmudah dan tidak menjadikan nafsu sebagai ikutan dalam pengurusan pemerintahan dan membuat keputusan.

No comments: