Friday, 11 July 2008

as-Sharqi wal Gharbi




Kemungkinan terlalu awal untuk aku menulis tajuk diatas. Tetapi perasaan untuk menulis itu tidak boleh ditahan-tahan. Ia bermula, bila aku berchating dengan seorang student yang hendak pergi menyambung pelajaran ke Mesir dalam bidang perubatan. Beliau meminta pandangan dariku sebagai seorang guru yang pernah mengajarnya. Lalu aku pun memberi pandangan dan pendapat sebagai seorang yang pernah belajar di timur tengah. Sebenarnya aku bersyukur kerana kerajaan telah menghantar pelajar Malaysia ke timur tengah dalam bidang perubatan. Bukan kerana alasan kos yang murah, kerajaan pun kena jujur menghantar pelajar kita luar negara atau ke sesebuah negara kerana pulangannya kepada negara dan rakyat perlu diambil kira juga.
Timur tengah bukan untuk Pengajian Islam sahaja, malah bidang-bidang lain pun tidak kurang hebatnya. Ramai yang berkepakaran hebat dalam kedoktoran dan kemahiran lain dari bangsa Arab. Di universiti-universiti Eropah sekarang ini sudah ramai pensyarah dari bangsa Arab. Mereka bukan sahaja berkepakaran dalam bidang agama tetapi dalam bidang lain juga. Malah ada yang berkepakaran dalam bidang sains menurut Al-Quran. Seperti contoh Doktor Zaid Kasim Ghazzawi, anda boleh layari laman web ini http://www.quran-miracle.com/ . Ini adalah kehebatan ilmuan Islam yang lahir dari sistem pendidikan Islam yang asasnya mempelajari Al-Quran terlebih dahulu.
Bila mereka kembali ke negara mereka sudah tentu mereka akan berkhimat di universiti tempatan dan mencurahkan kepakaran dan pengelaman semasa berkhidmat di universiti luar dahulunya. Pensyarah kita di Malaysia kurang berkhidmat dengan uinversiti luar untuk mencari pengalaman seperti pensyarah dari negara Arab. Kemungkinan kemudahan yang diberi oleh pihak kerajaan kepada pensyarah kita lebih baik ataupun soal gaji. Rasanya tidak salah kita galakkan pensyarah kita berkhidmat selama berapa tahun diluar negara untuk tujuan menajamkan kepakaran dalam sesuatu bidang yang baru. Maka proses pemindahan dalam bidang teknologi dan kemahiran lebih cepat dan senang.
Sekali-sekala persoalan ini berlegar dalam kotak fikiranku, kenapa kita sebagai orang Islam amat bangga dengan lulusan dari barat dalam bidang teknologi dan kemahiran. Bukan salah tetapi cuba kita singkap sejarah ketamandunan ilmu dari mana ia bermula, barat atau timur? Siapa yang menulis kitab Qanun Fi-Tib yang menjadi rujukan barat dalam bidang perubatan yang diterjemah dalam pelbagai bahasa. Manafaatnya sangat besar dalam dunia perubatan. Tiada siapa boleh menafikan kehebatan ilmuan Islam ini, barat pun mengiktirafnya. Begitu juga Ibnu Khaldun yang mengarang kitab Al-Muqadimah, banyak diterjemah dalam pelbagai bahasa. Kalau kita pergi ke perpustakaan yang besar-besar di barat banyak kitab dalam bahasa Arab tulisan tangan belum diterjemahkan lagi. Khususnya di Britain dan Perancis. Pernah semasa belajar duhulu, aku bertemu dan berbual dengan kawan-kawan yang menyambung MA dan PhD di Jordan. Mereka pernah memberitahu aku bahawa dari segi keilmuan, yang menyambung MA dan PhD di timur tengah lebih baik jika dibandingkan dari rakan-rakan mereka yang menyambung di barat. Cuma kelebihan mereka ialah dari segi penyusunan ilmu itu barat lebih baik.
Menjadi kewajipan kepada ilmuan Islam mengemaskinikan penyusunan ilmu supaya ilmu Islam itu menjadi mudah untuk dipelajari dan menjadi mudah untuk dirujuk oleh umat Islam dan bukan Islam. Usaha penterjemahan kitab dan buku Islam dalam pelbagai bahasa perlu supaya mudah bangsa lain memahami agama Islam. Biarlah usaha ini dibuat oleh orang yang mempunyai kepakaran dan orang Islam sendiri supaya tidak ada penyelewengan fakta berlaku. Kalau kita lihat ramai orang bukan Islam khususnya orang barat yang memeluk agama Islam selepas membaca terjemahan Al-Quran dan juga buku-buku Islam dalam bahasa Inggeris.
Selain daripada itu pada pendapatku, pelajar yang mengambil kursus perubatan di timur tengah dapat menguasai dua bahasa iaitu bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Bahasa yang digunakan dalam pembelajaran ialah bahasa Inggeris manakala bahasa berkomunikasi ialah bahasa Arab. Semua kita mengetahui bahawa bahasa merupakan alat yang penting untuk menguasai sesuatu ilmu. Kebanyakan kitab dan buku yang ada sekarang adalah dalam bahasa Inggeris dan Arab. Sudah tentu menguasai kedua-dua bahasa ini mencepatkan proses menguasai sesuatu ilmu. Maksud hadis Rasulullah s.a.w “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”. Konsep pendidikan dalam Islam adalah berterusan dan sepanjang umur kita bukan selepas tamat di sekolah dan universiti.

Monday, 7 July 2008

MUNAJAT DAN DOA TOK GURU


"Wahai Tuhan Kami, berilah kami perasaan takut kepadamu yang dapat menghalang kami dari kemaksiatan dan berilah kami ketaatan kepadamua yang menyampaikan kami ke syurgamu, dan berilah dan berilah keyakinan yang memudahkan kami menghadapi bencana di dunia."

"Wahai Tuhan kami berilah kami kenikmatan pendengaran, penglihatan dan kekuatan tubuh badan selama hidup kami dan jadikanlah dia mewarisi kami dan berilah pembalasan kepada orang yang menzalimi kami. Dan tolonglah kami terhadap orang yang memusuhi kami.Dan janganlah Engkau jadikan bencana bagi kami dalam agama kami dan janganlah jadikan keduniaan sebesar-besar cita-citanya kami dan tidak sampai batasan ilmu kami. Dan janganlah Engkau biarkan orang yang tidak menaruh kasihan balas terhadap kami, dapat menguasai ke atas kami."

"Wahai Tuhan kami, kami pohon perlindungan dengan nur kesucian engkau dan berkat kebersihan dan keagungan sifat jalal engkau, dari setiap yang datang waktu malam kecuali yang datang dengan baik." "Wahai Tuhan kami, engkaulah penolong kami, maka kepada engkau kami mohon pertolongan. Wahai tuhan kami, engkaulah Tempat kami menyelamatkan diri, maka kepada engkaulah kami pohon selamat. Wahai Tuhan bagilah kelemahan dan kehinaan yang mana segala tengkuk pembesar dunia."

"Dan tunduk kepadanya segala urusan dan kebesaran raja-raja Firaun, selamatkan kami dari penghinaan dan hukuman siksamu, ketika malam atau siang, ketika kami tidur atau berada di suatu tempat. Tiada tuhan bagi kami melainkan engkau demi kebesaran wajah engkau dan kemuliaan kesucian engkau, hindarkanlah kami dari segala kejahatan hamba-hamba engkau, berilah kemudahan kepada kami dengan limpah kurnia dari engkau wahai Tuhan yang Paha Pemurah."

"Wahai Tuhan sama ada engkau lembutkan hati-hati mereka untuk kami sebagaimana kamu lembutkan besi untuk Nabi Daud, dan kamu menundukkan mereka seperti seperti kamu tundukkan bukit bukau, gunung ganang untuk Nabi Sulaiman atau pun kamu lipat balik rancnagan jahat mereka supaya berpatah balik ke atas mereka sendiri , dan kamu hancur leburkan pakatan mereka dan kacau bilaukan kumpulan mereka dan goncangkan pendirian mereka dan Ya Allah turunkan bendera mereka rapat ke bumi, Wahai Tuhan yang tetap hidup yang mentadbir urusan makhluknya, Wahai Tuhan yang mempunyai keagungan dan kemuliaan, sesungguhnya Engkau berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu."

"Ya Allah Tuhan kami, limpahkanlah rahmat ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W yang dengannya dapat mengubati hati dan menjadikan penawar, menyihatkan badan yang menyembuhkannya, menjadi cahaya bagi pandangan mata dan menyinarkannnya dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada keluarga dan para sahabat baginda sekalian." -Doa Tuan Guru Nik Aziz sebelum pilihanraya